BRAZIL – Segala kos kosmetik dan kecantikan pramugari serta kakitangan wanita lain perlu ditanggung sepenuhnya oleh syarikat penerbangan Brazil, Gol Airlines susulan keputusan mahkamah buruh pada 29 Julai yang lalu.
Keputusan itu menyebut bahawa Gol Airlines wajib menyediakan set mekap percuma kepada semua kakitangan wanitanya di samping menanggung prosedur kosmetik lain seperti rawatan rias kuku.
AFP melaporkan bahawa sebelum ini kakitangan wanita Gol perlu menggunakan sebahagian gaji mereka untuk tujuan kecantikan ketika bekerja sekali gus berbeza dengan pekerja lelaki, demikian menurut keputusan mahkamah buruh berkenaan di negeri Santa Catarina, selatan Brazil.
Justeru, syarikat penerbangan itu perlu membayar 220 reais (RM174) kepada kakitangan wanitanya untuk kos kosmetik.
Keputusan tersebut memberikan manfaat kepada kira-kira 4,000 wanita termasuk pramugari dan pekerja lapangan terbang.
Sementara itu, Pengarah Kesatuan Pekerja Kabin Penerbangan Nasional, Clauver Castilho memaklumkan kesan daripada keputusan ini akan turut mempengaruhi sektor profesional lain.
“Keputusan ini akan mempengaruhi sektor profesional lain di mana wanita perlu memakai mekap kerana ia sudah menjadi perintah mahkamah,” katanya.