Toyota Muncul Pengeluar Kereta Utama Di Dunia

Toyota Muncul Pengeluar Kereta Utama Di Dunia

0
SHARE

TOKYO, JEPUN Syarikat automotif Jepun, Toyota muncul pengeluar kereta utama di dunia pada 2022 bagi mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu daripada pesaing dari Jerman, Volkswagen buat tahun ketiga, demikian menurut data syarikat itu kelmarin.

Di sebalik kekurangan cip dan gangguan rantaian bekalan berkaitan Covid-19, Toyota dan anak-anak syarikatnya menjual hampir 10.5 juta kenderaan tahun lalu, hampir sama dengan 2021.

Sebagai perbandingan, Volkswagen Group, yang mengekalkan kedudukan teratas sehingga 2020 sebelum dipintas oleh Toyota, menjual 8.3 juta unit tahun lalu, penurunan tahunan sebanyak tujuh peratus.

“Di sebalik impak kekangan pengeluaran yang disebabkan oleh penularan Covid-19, peningkatan permintaan bagi semikonduktor dan faktor-faktor lain, jualan global berada pada tahap yang sama berbanding setahun sebelumnya hasil daripada permintaan kukuh yang tertumpu di sekitar Asia,” kata gergasi automotif Jepun itu yang dipetik AFP.

Pada tahun 2022, Toyota menjual 2.7 juta kenderaan elektrik (EV), kira-kira lima peratus lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.

Majoriti daripadanya, atau 2.6 juta unit, adalah model hibrid.

Toyota merintis kereta hibrid, namun beberapa penganalisis berkata, syarikat itu beralih kepada enjin dikuasakan bateri walaupun permintaan meningkat bagi kenderaan pelepasan rendah.

Setahun lalu, Toyota menaikkan sasarannya bagi sektor berkenaan dan mengumumkan ia akan mengeluarkan 30 model elektrik dijana bateri menjelang akhir dekad ini.

Penganalisis Lightstream Research yang menerbitkan Smartkarma, Mio Kato memberitahu AFP bahawa Toyota berkemungkinan mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu dalam jangka masa terdekat ini.

“Dari segi volum sebenar, masih sukar bagi Volkswagen atau General Motors untuk mengatasi Toyota dengan mudah kerana keduaduanya berdepan tekanan lebih besar di China dengan perniagaan enjin pembakaran dalaman,” katanya.

Pengeluar kereta elektrik sepenuhnya seperti BYD dari China pada satu hari akan memberikan ‘ancaman tulen’ kepada Toyota, katanya, kerana mereka mempunyai teknologi bateri yang mantap di samping lebih berpengalaman dan mempunyai penjenamaan lebih baik bagi EV.

Namun, pengeluar yang hanya menghasilkan EV masih lagi terlalu kecil untuk mempunyai peluang realistik bersaing dengan pengeluar kereta warisan untuk sekurangkurangnya beberapa tahun akan datang, kata Kato.

Minggu lalu, Toyota menamakan Koji Sato sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, menggantikan CEO generasi ketiga, Akio Toyoda dan satu penyusunan semula mengejutkan kepimpinan syarikat itu.