PARIS, PERANCIS – Beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) mula memberi suntikan vaksin kepada kumpulan paling berisiko hari ini, ketika varian baharu COVID-19 yang lebih mudah berjangkit menular ke peringkat antarabangsa.
Dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech tiba ke negara EU, terutama yang terjejas teruk seperti Itali, Sepanyol dan Perancis semalam, dan sedia untuk diagihkan ke rumah penjagaan dan petugas kesihatan.
Memetik laporan AFP, kelulusan dan pengagihan vaksin itu memberi harapan yang tahun 2021 mungkin berjaya menghentikan pandemik itu, ketika lebih 1.7 juta orang maut sejak ia dikesan di China pada akhir tahun lalu.
Bagaimanapun, dalam satu mesej video menjelang Hari Kesediaan Epidemik Antarabangsa hari ini, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata kini adalah masa untuk belajar kesan penularan COVID-19.
“Sejarah mengajar kita ini bukan pandemik terakhir, dan epidemik adalah sebahagian fakta kehidupan…
“Sebarang usaha untuk meningkatkan kesihatan manusia akan gagal melainkan kita mengatasi hubungan kritikal antara manusia dan haiwan, serta ancaman perubahan iklim yang menyebabkan bumi menjadi semakin sukar didiami,” katanya.
Gerakan memberi suntikan vaksin di semua 27 negara EU dijadualkan bermula hari ini, selepas pihak berkuasa meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech pada 21 Disember lalu.