Pelancongan Berasaskan Komuniti Di Pitas Mampu Tarik Pengunjung

Pelancongan Berasaskan Komuniti Di Pitas Mampu Tarik Pengunjung

0
SHARE

PITAS, SABAH – Pelancongan berasaskan komuniti merupakan cara yang berdaya maju dalam mengukuhkan usaha kerajaan negeri bagi menaikkan kawasan terutara Sabah iaitu daerah Pitas.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, ini berikutan fakta bahawa Pitas mempunyai pelbagai potensi pelancongan yang belum diterokai.

“Pitas terkenal sebagai daerah termiskin, tetapi bagi saya, ia kaya dengan alam semula jadi, dan keindahan Pitas mampu menarik pengunjung…

“Sudah ada beberapa inap desa (homestay) yang beroperasi, dan ramai yang datang menginap, sekali gus membantu ekonomi masyarakat.

“Kami mahu melihat pelancongan sebagai satu cara untuk membawa rakyat Pitas keluar daripada belenggu kemiskinan, dan ini adalah cara untuk menaikkan mereka,” katanya selepas melancarkan rumah rehat terapung Walai Ondoton Pitas Homestay di Kampung Kuyuh sini, hari ini.

Datuk Joniston Bangkuai melancarkan rumah rehat terapung Walai Ondoton Pitas Homestay di Kampung Kuluh di Pitas, pada Jumaat…(Gambar ihsan Edmund Samunting/Lembaga Pelancongan Sabah)

Joniston, yang juga mempengerusikan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), berkata pihaknya berhasrat untuk membawa masuk pelancong mewah ke negeri ini dan mempromosikan destinasi luar bandar serta alam semula jadi kepada mereka.

Beliau menambah bahawa Kementerian dan STB terus memberi tumpuan kepada pelancongan luar bandar untuk memperkasakan masyarakat dan bersedia membantu mempromosikan produk yang terdapat di Pitas.

“Oleh itu, masyarakat setempat perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai aktiviti dan destinasi menarik yang boleh diperkenalkan kepada pengunjung luar apabila datang ke sini,” katanya.

Homestay Walai Ondoton Pitas adalah antara beberapa pelancongan berasaskan komuniti di Pitas. Ia diurus oleh enam (6) buah kampung iaitu Kampung Kuyuh; Manggis, Pogil, Datong, Kabatasan dan Sinsilog.

Penyelaras Homestay Enting Sambing berkata Homestay Walai Ondoton Pitas ditubuhkan pada 2007 tetapi ditangguhkan memandangkan masyarakat belum bersedia menerima pelancong ketika itu.

Enting Sambing…

“Kami memulakan semula dan menjalankan homestay kami pada 2019 dan merekodkan kira-kira 400 pengunjung sebulan…

“Pandemik telah menjejaskan kami, tetapi kami bersedia untuk bangkit semula dan mengalu-alukan pengunjung sekali lagi.

“Saya sentiasa memastikan masyarakat kekal bersemangat tinggi, tetapi kita juga memerlukan sokongan berterusan daripada STB,” katanya.

Rumah rehat terapung itu adalah sebahagian daripada geran Sabah New Deal yang bertujuan membantu pemain industri pelancongan yang terjejas menambah baik dan menaik taraf kemudahan mereka.

Rumah tersebut yang berlabuh di Sungai Kampung Kuyuh menjadi produk pelancongan yang berpotensi untuk aktiviti seperti pelayaran sungai, memerhati monyet belanda (bayau) dan kelip-kelip antara lain.