5 Pusat Hemodialisis Ditubuhkan Di Pedalaman Sabah, Permudahkan Rawatan Pesakit Buah Pinggang

5 Pusat Hemodialisis Ditubuhkan Di Pedalaman Sabah, Permudahkan Rawatan Pesakit Buah Pinggang

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kehidupan pesakit buah pinggang di kawasan pedalaman negeri ini bakal dipermudahkan dengan penubuhan LIMA (5) buah pusat hemodialisis yang dijangka bermula pada tahun hadapan.

Kerjasama antara Yayasan Buah Pinggang Sabah dan Kolej Universiti Antarabangsa Picoms (PICOMS) bermatlamat untuk meringankan kos rawatan penduduk daif selain daripada menampung kekurangan fasiliti ‘cuci darah’ di Sabah.

Menurut Pemangku Yang di-Pertua Yayasan Buah Pinggang Sabah, Dato Sri Rashid Liaw Abdullah, secara puratanya seorang pesakit mengambil 12 hari kehidupannya setiap bulan untuk menjalani rawatan.

“Dalam tempoh sebulan, seorang pesakit akan membelanjakan sekitar RM 3000 semata-mata untuk melangsungkan hidup…

“Proses mendapatkan rawatan ini menjadi lebih rumit terutamanya untuk golongan miskin yang tinggal di kawasan pedalaman di mana mereka harus membuat perjalanan yang jauh setiap kali,” katanya.

Beliau berkata pesakit dari Beaufort terpaksa menumpang feri ke Labuan, atau melalui perjalanan darat yang jauh dari Lahad Datu ke Tawau dan dari Kota Marudu ke Kota Belud.

“Selain daripada kos tambahan perjalanan itu, pesakit buah pinggang tidak dapat menjana pendapatan seperti individu biasa demi rawatan yang banyak memakan masa hidup mereka…

“Hasrat kami adalah untuk membantu mereka mencapai jangka hayat yang lebih panjang dan sekaligus membolehkan mereka menghayati kehidupan yang lebih sempurna,” katanya.

Rashid berkata impian itu wujud sejak tahun 90an lagi namun hanya sekarang menjadi realiti dengan kehadiran kepakaran tenaga kerja dan pengoperasian PICOMS.

Naib Canselor PICOMS, Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman berkata kelima-lima pusat rawatan itu boleh merawat sehingga 350 pesakit.

“Kadar pesakit buah pinggang di Sabah semakin meningkat kerana korelasi peningkatan pesakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi yang dipengaruhi gaya hidup mereka…

“Nisbah fasiliti dialisis swasta di Sabah masih belum mencukupi. Seramai 115 dari setiap 100,000 individu dikenal pasti merupakan pesakit buah pinggang.

“PICOMS boleh membantu Yayasan Buah Pinggang Sabah dengan memberikan kursus kejururawatan ‘Post Basic Renal’ kepada anak tempatan Sabah bagi melengkapkan tenaga kerja,” jelasnya sambil menambah kursus tersebut berpermintaan tinggi.

Dalam pada itu Rashid mendedahkan beliau dengan kerjasama bersama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sedang cuba meringankan bebanan kos pesakit.

“Kami tidak boleh berikan rawatan secara percuma kerana perlu menanggung kos pengoperasian tetapi akan memberikan cas pada kadar minima…

“Sebagai sebuah yayasan, tujuan kami adalah untuk membantu orang yang kurang berkemampuan secara amal jariah dan bukan untuk mendapatkan keuntungan,” tambah beliau.

Katanya kos untuk sebuah fasiliti akan mengambil RM 1.2 juta dan itu tidak termasuk mesin dialisis. Rashid turut menyatakan harapan dengan kerjasama itu, lebih banyak fasiliti dapat dibuka di seluruh Sabah.