LKTN, Kerajaan Negeri Adakan Taklimat Penanaman Dan Industri Kenaf Buat Pertama Kali...

LKTN, Kerajaan Negeri Adakan Taklimat Penanaman Dan Industri Kenaf Buat Pertama Kali Di Sabah

0
SHARE
Datuk Ellron Angin (kiri) menyerahkan Cenderahati kepada Timbalan Pengarah LKTN, Mohd Fadzhel Mohd Nasir...

SOOK, SABAH – Taklimat Penanaman Dan Industri Kenaf diadakan buat pertama kali secara rasminya di Sabah melalui kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dengan Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah di Dewan Masyarakat Sook, Keningau.

Taklimat tersebut dikendalikan sendiri oleh wakil daripada Lembaga Kenaf dan Tembakau Malaysia (LKTN) iaitu Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara, Ts Mohd Fadzhel Mohd Nasir.

Beliau menyampaikan taklimat berkenaan Penanaman dan Pengembangan Industri Kenaf yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap ADUN N.45 Sook, Datuk Ellron Angin.

Kenaf merupakan salah satu tanaman yang berpotensi untuk dimajukan sebagai salah satu komoditi yang boleh dikomersialkan terutamanya dalam sektor industri pembuatan.

“Tanaman ini yang baru bertapak 10 tahun lepas di Semenanjung Malaysia ini, dikira masih baru dalam bidang pertanian di Sabah dan Sarawak menjanjikan pendapatan lumayan kepada para pekebun sekiranya diusahakan secara intensif,” kata Ellron.

Beliau dalam usahanya membawa dan memperkenalkan tanaman kenaf kepada para pekebun dan peladang, menyatakan 10 000 ekar tanah masih belum diusahakan di kawasan Sook, dan ini memberikan ruang untuk kawasan Sook dijadikan perintis untuk penanaman kenaf dimulakan di Negeri ini.

“Sook mempunyai potensi yang besar untuk penanaman kenaf dimulakan, kedudukannya yang terletak di kawasan tanah yang agak rata serta subur membolehkan tanaman ini sesuai dimulakan dikawasan ini,” tambah beliau.

Program yang bermula pada jam 9. 30 pagi sehingga jam 12.00 tengah hari itu melibatkan peserta seramai 150 orang yang rata-ratanya merupakan penduduk Sook.

Selesai taklimat tersebut, Menteri Belia Dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin telah membawa rombongan LKTN ke kawasan yang bakal dibangunkan untuk dijadikan perintis kepada penanaman Kenaf di Tiulon, Sook.