KOTA KINABALU: Sabah memperhebat agenda keselamatan makanan dan ekonomi biru pada 2026 dengan pelbagai inisiatif strategik, kata Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Bagi sektor pertanian, RM559.85 juta diperuntukkan untuk Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan termasuk pembangunan sawah padi, bioteknologi pertanian, agro-pemasaran, dan Projek Revolusi Penanaman Padi di enam daerah.
Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) menerima RM3 juta untuk operasi dan RM15 juta bagi pembelian jentera padi.
Sabah Agricultural Biotechnology Centre (SABTeC) pula dibangunkan untuk penyelidikan tanaman berkualiti tinggi dan tahan penyakit.
Program pemeliharaan kontrak ternakan, projek ayam belanda, dan projek pengeluaran makanan tambahan bagi lebah turut dilaksanakan.
Sektor perikanan menerima RM48.26 juta termasuk RM900,000 untuk Inisiatif Ekonomi Biru Perikanan bagi memperkukuh keselamatan makanan dan rantaian bekalan.
Korporasi Pembangunan Desa (KPD) akan menaik taraf 10 Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian serta melaksanakan 21 projek pembangunan.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Lembaga Perindustrian Getah Sabah menerima peruntukan untuk meningkatkan produktiviti ternakan dan sokongan pekebun kecil.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula akan menaik taraf sistem pengairan, mitigasi banjir dan pemulihan sawah padi.
Bagi ekonomi biru, RM1 juta diperuntukkan untuk menyediakan Pelan Induk Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat manakala inisiatif lain menumpukan kepada tenaga boleh diperbaharui, pemulihan terumbu karang, pengurusan sisa laut, pembangunan komuniti pesisir, dan infrastruktur pelabuhan mesra alam.
Sabah turut menubuhkan Majlis Ekonomi Biru Negeri, Pusat Penyelidikan Ekonomi Biru dan Keselamatan Maritim UMS, serta kerjasama penyelidikan antarabangsa dan perjanjian pembiayaan biru dengan Maybank.
Masidi berkata keseluruhan strategi ini bertujuan membina ekosistem pertanian moden dan ekonomi biru yang lestari, meningkatkan pengeluaran tempatan, memperkasakan komuniti luar bandar, serta memastikan ketahanan makanan dan pembangunan mampan di Sabah.






