KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) mengumumkan Ustaz Mohd Julpikar Ab Mijan sebagai calon bagi kerusi DUN N.64 Sulabayan, Semporna, mewakili Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, 29 November ini.
Pengumuman dibuat sempena Konvensyen AMANAH Negeri Sabah 2025 yang dirasmikan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Sabu, di Golden Hotel, Sembulan.
Mohamad Sabu menyeru jentera parti memperkukuh gerak kerja dan strategi bagi memastikan AMANAH memperoleh kerusi pertama di Sabah, sambil menegaskan perjuangan parti mesti kekal berasaskan nilai, integriti dan kejujuran.
Ustaz Mohd Julpikar, seorang pendidik dan aktivis sosial dari Semporna, berkelulusan Sarjana Muda Hukum (Syariah & Undang-undang) dari UIN Suska Riau, Indonesia.
Beliau pernah menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul 2021 dan Tokoh Ma’al Hijrah 2023 peringkat daerah Semporna.






