KOTA KINABALU: Gunung Kinabalu kini mencipta satu lagi sejarah apabila monumen penanda arah kiblat yang dipasang di Kilometer 8 (KM8) gunung tertinggi negara itu diiktiraf sebagai Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan pengiktirafan rasmi itu dalam Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records di The Pacific Sutera, Sutera Harbour Resort, di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, monumen yang dipasang pada ketinggian 3,930.4 meter dari aras laut bukan sahaja satu pencapaian fizikal, tetapi simbol kekuatan semangat, keilmuan dan keimanan umat Islam Sabah yang berjaya menggabungkan ilmu falak, teknologi serta ketahanan fizikal dalam projek unik tersebut.
“Monumen ini berdiri megah di puncak tertinggi Malaysia, menjadi lambang keutuhan akidah dan syiar Islam yang menjulang tinggi. Ia bukan hanya rekod dalam buku, tetapi pengiktirafan terhadap usaha dakwah, ilmu dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu amat signifikan kerana membantu pendaki Muslim menentukan arah kiblat dengan tepat bagi menunaikan solat di altitud tinggi, sekali gus menyelesaikan cabaran pelaksanaan ibadah di kawasan ekstrem.
Projek tersebut dilaksanakan oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Taman-Taman Sabah, JAKIM, Pejabat Ketua Menteri, Polis Diraja Malaysia, Bomba, RTM, Pejabat Daerah Ranau, Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Bahagian Istiadat dan Protokol.
Hajiji menambah, sinergi antara agensi berkenaan membuktikan bahawa gabungan ilmu, teknologi dan iman mampu melahirkan kejayaan besar, menjadikan Gunung Kinabalu bukan sekadar destinasi pendakian fizikal tetapi juga destinasi spiritual dan ilmiah.
Beliau turut menegaskan bahawa kewujudan monumen berkenaan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan halal dan mesra Muslim, sekaligus memperkasakan bidang ilmu falak dalam masyarakat.
“Pelancong Muslim kini lebih yakin menunaikan solat di puncak tertinggi Malaysia. Ini menjadikan Sabah peneraju pelancongan halal dan membuktikan bahawa sains dan agama boleh bergerak seiring dalam suasana harmoni,” ujarnya.
Hajiji menegaskan, pencapaian ini menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa kejayaan dicapai melalui ilmu, semangat dan kerjasama, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk membangunkan rakyat dari segi ekonomi, nilai dan akhlak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat atas kejayaan membawa nama Sabah ke dalam Malaysia Book of Records.






