Parti Kerjasama Anak Negeri Cadang Wujudkan Kad Penduduk Daerah

Parti Kerjasama Anak Negeri Cadang Wujudkan Kad Penduduk Daerah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) mencadangkan pendaftaran menyeluruh rakyat Sabah di peringkat daerah bagi pengeluaran Kad Penduduk Daerah khusus untuk warganegara tulen Sabah.

Presidennya, Datuk Henrynus Amin berkata langkah itu penting bagi melindungi kepentingan ekonomi rakyat tempatan. 

“Ini langkah penting untuk memastikan manfaat negeri dan peluang ekonomi hanya dinikmati oleh rakyat Sabah sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, parti itu juga akan mencadangkan pindaan terhadap Ordinan Kerajaan Tempatan bagi mewujudkan sistem Kad Penduduk Daerah secara sah, yang turut berfungsi menyemak kelayakan pemohon lesen perniagaan.

“Banyak lesen kini disalah guna oleh warga asing melalui proksi tempatan.

“Keadaan ini menyebabkan kedai runcit dan perniagaan asing tumbuh seperti cendawan di kampung-kampung,” tegasnya.

Beliau mendakwa ada yang turut terbabit dalam aktiviti pinjaman tidak berlesen.

Henrynus turut menggesa reformasi di Pejabat Daerah yang didakwa gagal memantau penyalahgunaan itu.

“Penyalahgunaan ini mesti dihentikan. Kami akan pastikan pegawai tidak kompeten diganti dan Majlis Daerah dibersihkan,” katanya.