PADAWAN, SARAWAK – Seorang penjaga tapak projek binaan cedera ditetak di tangan dan kepalanya dipukul menggunakan tukul oleh rakannya kerana dipercayai enggan membayar hutang.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa iaitu lelaki berusia 35 tahun itu diserang oleh suspek bersama dua orang lagi rakannya di sebuah rumah pekerja di Jalan Arang, di sini kira-kira jam 8.30 pagi semalam.
“Suspek yang bersenjatakan parang menyerang mangsa yang baru bangun tidur di ruang tamu dan menetaknya di tangan sebelah kiri…
“Pada masa sama, salah seorang suspek memukul kepala mangsa menggunakan tukul.
“Tanpa berkata apa-apa, kesemua suspek kemudian keluar dari rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Katanya mangsa yang cedera kemudian dihantar oleh rakan serumahnya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.
Abang Zainal berkata berdasarkan keterangan mangsa, punca kejadian disebabkan dia berhutang sebanyak RM500 dengan suspek yang dikenalinya sebagai Ah Bie.
Sehubungan itu, katanya suspek marah dan tidak berpuas hati kerana dikatakan mangsa enggan membayar hutang.
“Mangsa dan Ah Bie merupakan kawan sebelum ini dan memang kenal antara satu sama lain,” katanya.
Justeru, Abang Zainal berkata pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padawan telah diarahkan untuk menangkap suspek.