KOTA KINABALU, SABAH – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan anti lompat parti dijangka akan dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah November ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata persidangan DUN Sabah juga dijadualkan akan dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) – 15 nanti.
“Insya-Allah kita akan perkenalkan dan membawa (pembentangan RUU anti lompat parti) ke persidangan DUN…
“Mungkin kita akan bersidang hujung bulan November ini selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 15 nanti…
“Ini bergantung kepada sokongan daripada pihak pembangkang kerana kita harus mempunyai dua pertiga majoriti untuk meluluskan RUU ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2022 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, whymengulas mengenai status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda yang dilaporkan keluar dari BERSATU, Hajiji yang merupakan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah dan Pengerusi GRS itu berkata beliau menerima sebarang pengumuman rasmi mengenainya.

“Saya pun tidak tahu yang satu ini (Wetrom) lompat (dari parti secara rasmi) atau tidak. Kita belum ada lagi pengumuman rasmi daripada beliau,” katanya.
Dalam perkembangan lain, media sebelum ini melaporkakn Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun telah mengesahkan pautan yang tular dilaman media sosial berkenaan Wetrom keluar dari BERSATU selepas dilihat menghadiri program anjuran WARISAN.
Sementara itu, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula belum mengesahkan berhubung penyertaan Wetrom memasuki parti WARISAN setakat ini.