Cuaca Buruk, Hujan Lebat Di Gunung Kinabalu, Pendaki Hadapi Detik Cemas

Cuaca Buruk, Hujan Lebat Di Gunung Kinabalu, Pendaki Hadapi Detik Cemas

0
SHARE

RANAU, SABAH – Keadaan cuaca yang buruk dan hujan lebat berterusan di Gunung Kinabalu telah mengakibatkan sekumpulan pendaki berdepan detik cemas ketika melakukan pendakian Jumaat lalu.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr. Maklarin Lakim berkata, semua pendaki bagaimanapun berjaya dibawa turun dengan selamat.

“Aktiviti pendakian dimulakan seperti biasa iaitu pada pukul 2.30 pagi dalam keadaan cuaca yang amat baik ketika pada hari kejadian.

“Namun cuaca mula bertukar pada pukul 6 pagi apabila hujan lebat dan angin kuat berlaku secara tiba-tiba…

“Semua pendaki yang diiringi kumpulan malim gunung kemudiannya dibawa turun melalui aliran air seperti yang dipaparkan dalam sebuah video tular terbabit sebelum pendaki berjaya turun dengan selamat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan rakaman video tular mengenai pendaki yang terperangkap dalam cuaca buruk sewaktu aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu baru-baru ini.

Tambahnya lagi, situasi yang dirakam dalam video tular tersebut berlaku pada 14 Oktober lalu.

Menurut beliau, kejadian aliran air deras seumpama ini sering berlaku di Gunung Kinabalu terutama apabila hujan lebat.

“Demi keselamatan para pendaki, pendakian ke puncak gunung akan ditutup sekiranya hujan lebat atau cuaca buruk sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) Pendakian Gunung Kinabalu,” katanya.