KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran merangkap Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, menuduh Parti Warisan sebagai punca utama ketidakstabilan politik di Sabah sejak 2018.
Beliau berkata, Warisan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri 2018 bukan melalui mandat rakyat, tetapi hasil pengkhianatan enam ADUN Barisan Nasional yang melompat parti.
“Kerajaan lahir daripada pengkhianatan tidak akan kekal lama. Warisan tumbang dengan cara sama akibat budaya lompat parti yang mereka sendiri mulakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sepanjang 26 bulan pemerintahan Warisan, Sabah lumpuh dengan dasar tidak konsisten, pelabur hilang keyakinan, dan pembangunan terhenti separuh jalan, sementara pemimpinnya sibuk berebut kuasa ketika rakyat bergelut dengan pandemik COVID-19.
Suhaimi menegaskan undang-undang anti-lompat parti yang diwujudkan selepas kejatuhan Warisan menjadi bukti jelas tindakan parti itu telah merosakkan integriti demokrasi negeri.
“Warisan perlu bercermin. Kegagalan mereka bukan kerana orang lain, tetapi kerana kerakusan sendiri. Sabah tidak boleh lagi dijadikan pentas politik katak,” katanya.
Beliau menegaskan BN Sabah komited mempertahankan kestabilan politik dan menolak politik khianat demi kemajuan negeri.






