PBS Pimpin Jentera GRS Bagi Lima ADUN STAR

PBS Pimpin Jentera GRS Bagi Lima ADUN STAR

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan kesediaan penuh untuk memimpin jentera pilihan raya bagi lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang memilih untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Biro Politik PBS yang dipengerusikan oleh Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, hari ini.

Beliau berkata, pemangku presiden telah mengarahkan bahagian PBS di lima kawasan berkenaan iaitu Sook, Bingkor, Paginatan, Liawan dan Tulid untuk memulakan perbincangan dengan penyandang masing-masing iaitu Datuk Ellron Angin, Datuk Robert Tawik, Datuk Abidin Madingkir, Datuk Annuar Ayub dan Datuk Flovia Ng.

“Kawasan-kawasan ini merupakan antara kawasan di mana PBS mempunyai asas akar umbi yang kukuh dan aktif.

“PBS yakin bahawa dengan menggabungkan sumber dan bekerjasama di peringkat akar umbi, GRS mampu mengekalkan momentum serta keyakinan pengundi dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Joniston, yang juga Ketua Penerangan GRS, menegaskan bahawa PBS sentiasa mengekalkan hubungan kerjasama yang baik di lapangan dengan wakil-wakil berkenaan dan akan terus memperkukuh semangat perpaduan dalam GRS.

“Dukungan PBS ini berasaskan kepada kefahaman bahawa kerjasama dan kepercayaan antara parti komponen GRS amat penting untuk mengekalkan kestabilan politik serta memastikan pembangunan rakyat terus terjamin,” ujarnya.

Katanya lagi, keputusan itu dibuat atas semangat tanggungjawab bersama untuk memelihara kepercayaan rakyat terhadap GRS dan meneruskan agenda pembangunan yang telah dimulakan di bawah gabungan tersebut.