Ewon Alu-Alukan Pandangan Kerjasama GRS-PH Plus Dalam PRN Akan Datang

Ewon Alu-Alukan Pandangan Kerjasama GRS-PH Plus Dalam PRN Akan Datang

0
SHARE

PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah dengan Pakatan Harapan (GRS-PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, namun kerjasama itu perlu diterjemahkan di peringkat akar umbi sekarang.

Beliau berkata, ini kerana masih banyak perkara berkaitan kerjasama GRS-PH perlu direalisasikan terutamanya perkongsian pelantikan politik dan keseimbangan dalam pentadbiran awam.

“Saya mengalu-alukan kenyataan rakan saudara saya, Datuk Armizan Mohd Ali terkait dengan kerjasama GRS-PH Plus dan kerjasama ini sedang dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, masih banyak perkara berkaitan kerjasamai ni perlu direalisasikan terutamanya pekongsian pelantikan politik dan resolusi-resolusi daripada komponen PH yang ingin melihat sokongan daripada kerajaan negeri, ini semua memerlukan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan sambutan Tahun Baharu Cina anjuran PCCI, di sini, hari ini.

Ewon berkata, setakat ini belum ada kerjasama ‘tulen’ yang ketara diantara GRS-PH Sabah khususnya di peringkat akar umbi.

“Saya berterus terang, bagi kami PH Sabah, kami belum melihat kerjasama itu diterjemahkan di peringkat daerah dan akar umbi. Akar umbi inilah yang akan menilai sejauh mana keikhlasan kerjasama yang telah dimulakan sejak tahun lepas.

“Perkara ini saya serahkan kepada pimpinan Ketua Menteri dan kerajaan negeri termasuk dua wakil PH dalam kabinet Sabah, bagaimana menterjemahkan ini di peringkat akar umbi supaya kerjasama itu tulen, bukan hanya berlaku di peringkat atasan tetapi mesti diterjemahkan juga di peringkat bawahan,” tegasnya.

Ketika ditanya sama ada beliau yakin dengan kerjasama PH-GRS, Ewon berkata, “kerjasama ini sedang berlangsung tetapi perlu diperkasakan lagi, ertinya keyakinan saya untuk menyokong Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Haji Noor) sudah bermula sejak saya mempertahankan beliau semasa krisis politik awal tahun lepas.

“Itu adalah komitmen dan kesediaan saya untuk menyokong beliau tetapi ini mesti diterjemahkan kepada kerjasama sebenar di peringkat akar umbi,” katanya.

Mengenai kerjasma pada PRN akan datang, beliau mengalu-alukan kenyataan Armizan namun perlu ada perbincangan baru dan segar terkait pengagihan kerusi pilihan raya.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini sebagai Presiden UPKO yang duduk dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan, saya menginginkan satu perbincangan yang baru dan segar terkait dengan agihan kerusi pilihan raya nanti,” katanya.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau tidak bersetuju sekiranya parti berkenaan menganggap kerusi yang mereka menang atas tiket parti asal wakil rakyat berkenaan pada pilihan raya lalu milik parti itu.

“Tidak harus ada parti yang menganggap parti yang memenangi melalui wakil rakyat yang melompat. Saya tidak setuju kalau itu dianggap milik parti baru wakil rakyat tersebut.

“Pengagihan kerusi memerlukan satu penelitian dan perbincangan yang segar dan baru kerana pilihan raya pada 2020 sangat berbeza dengan apa yang ada ketika ini.

“UPKO mempunyai rakan gabungan yang berbeza pada masa itu, begitu juga dengan GRS yang mempunyai rakan gabungan yang berbeza. Jadi senario telah banyak berubah, sebab itu kita memerlukan perbincangan baru terutamanya berkaitan pengagihan kerusi PRN akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung GRS yang mahu perpaduan sedia ada antara gabungan berkenaan dengan PH diteruskan dalam pilihan raya negeri akan datang.

Armizan berkata, walaupun kepimpinan tertinggi GRS belum membuat sebarang perbincangan mengenai formula kerjasama dalam pilihan raya akan datang namun beliau mempunyai pendiriannya sendiri.