‘Jangan Zalimi, Tindas Rakyat’, Harga Tiket Penerbangan ‘Cekik Darah’

‘Jangan Zalimi, Tindas Rakyat’, Harga Tiket Penerbangan ‘Cekik Darah’

0
SHARE
Dr Aliakbar Gulasan, ADUN Dilantik

KOTA KINABALU: Sudah sampai masanya kerajaan campur tangan dan bertindak serius untuk mengawal harga tiket penerbangan yang terlalu mahal dan membankan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan menyifatkan, harga tiket penerbangan pada hari ini seperti ‘cekik darah’ dan menzalimi serta menindas rakyat. 

“Sebagai contoh tiket penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur telah mencecah lebih RM1,000 sehala pada satu-satu masa.

“Situasi seperti musim perayaan, cuti sekolah dan universiti tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menaikkan harga tiket. Pemegang taruh tidak seharusnya memikirkan keuntungan dan pulangan komersial semata-mata. 

“Jangan ambil kesempatan pada musim perayaan dan cuti sekolah kerana pada waktu inilah rakyat pulang untuk menziarahi keluarga dan kunjung-mengunjung mengeratkan silaturahim.

“Jangan disebabkan tiket mahal, ramai pelajar tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Kebajikan rakyat mesti menjadi keutamaan dalam menentukan harga tiket penerbangan,” tegasnya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Perhubungan PAS Negeri Sabah berkata, syarikat penerbangan juga harus bertimbang rasa dan tidak mengambil kesempatan atas sebab yang tidak munasabah.

Katanya, kerajaan juga sewajarnya bertindak menangani isu yang membelenggu sekali gus memikirkan kebajikan rakyat, sesuai dengan slogan dan prinsip Malaysia Madani, iaitu Kesejahteraan dan Ihsan.

“Harga tiket hendaklah dikawal dan dipantau sepanjang tahun kerana banyak pihak yang perlu menggunakan penerbangan sebagai kaedah penting seperti urusan pekerjaan dan pendidikan.

“Harga mampu milik akan memudahkan banyak urusan kerja, menggembirakan rakyat serta menggalakkan pelancongan dalam negeri,” jelasnya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan dan pemegang taruh mesti bersama-sama menyelesaikan isu ini dan tidak perlu mendiskriminasi serta mengambil kesempatan, lebih-lebih lagi dalam krisis dan kegawatan ekonomi pada masa ini.