KUALA LUMPUR – Hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan jumlah maksimum LIMA (5) orang sahaja, demikian menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Perdana Menteri menegaskan, bagi negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), aktiviti keagamaan dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum ditetapkan di dalam prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata, pihak berkuasa agama negeri disaran memberi penetapan yang bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadiran yang dibenarkan.
Dalam pada masa yang sama, Perdana Menteri memaklumkan bahawa kerajaan memberi penduduk di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan keluar rumah untuk beriadah dengan anggota isi rumah berikutan beliau sedar pengasingan diri untuk satu tempoh yang lama boleh memberi tekanan terhadap kesihatan mental.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan individu yang mahu beriadah perlu memastikan jarak dua meter dengan orang lain pada setiap masa.
“Saya sedar pengasingan diri untuk satu tempoh yang lama boleh memberi tekanan terhadap kesihatan mental. Justeru bagi memastikan kesihatan minda dan fizikal yang berterusan, anda dibenarkan meninggalkan rumah untuk beriadah dengan anggota isi rumah…
“Pastikan jarak anda dari orang lain adalah sekurang-kurangnya dua meter setiap masa. Kalau hendak berjogging, jangan lebih daripada dua orang dan kalau berbasikal, janganlah secara berkumpulan. Cukuplah seorang sahaja,” katanya lagi.





