Kerajaan Putuskan PKP 14 Hari Bermula 13 Jan Hingga 26 Jan, Pergerakan...

Kerajaan Putuskan PKP 14 Hari Bermula 13 Jan Hingga 26 Jan, Pergerakan Rentas Negeri Dan Daerah Tidak Dibenarkan

0
SHARE
Tan Sri Muhyiddin Yassin...

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di ENAM (6) negeri berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam Rabu ini hingga 26 Januari depan, demikian menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung, hari ini.

ENAM (6) negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Pergerakan rentas negeri juga tidak dibenarkan di seluruh negara selama 14 hari perlaksanaan PKP itu.

Bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, pergerakan rentas daerah juga TIDAK DIBENARKAN.

Beliau berkata bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19, aktiviti sosial membabitkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan juga tidak dibenarkan.

Katanya lagi, bagi negeri di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP), aktiviti sosial dibenarkan tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut berkata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap ENAM (6) negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

DUA (2) negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh sama.

“Negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum…

“KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat,” katanya lagi.