Golongan VIP Pilih Songkhla Untuk Berkahwin

Golongan VIP Pilih Songkhla Untuk Berkahwin

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA BHARU, KELANTAN – Ramai golongan ternama (VIP) di Malaysia termasuk yang bergelar ‘Datuk’ lebih berminat berkunjung ke Songkhla, Thailand untuk berkahwin sejak tahun lalu.

Memetik sumber Berita Harian, Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Negeri Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat, berkata VIP Malaysia dan pasangan mereka itu memutuskan bertindak demikian atas pelbagai sebab dengan alasan paling popular adalah privasi.

“Jika sebelum ini, pasangan Malaysia yang berkahwin di Majlis Agama Islam Negeri Narathiwat membabitkan orang terkemuka dan biasa, tetapi sejak tahun lalu, kira-kira 95 peratus pasangan Malaysia yang melawat majlis ini adalah orang biasa saja.

“Bagaimanapun, sekarang VIP atau orang ternama termasuk yang bergelar ‘Datuk’, selebriti, ahli politik, dan orang kaya lebih suka memilih pergi ke Songkhla dan berkahwin dengan majlis agama di negeri itu.

“Mereka sanggup melakukan perjalanan lebih jauh untuk mendapatkan privasi. Mereka juga mahu proses perkahwinan itu diselesaikan dengan cepat kerana alasan peribadi,” katanya.

Abdul Aziz berkata, mereka yang pergi ke Songkhla kebanyakannya berasal dari Lembah Klang, negeri di utara dan timur.

Beliau berkata, beratus-ratus pasangan Malaysia termasuk mereka yang mahu berkahwin secara poligami, melakukan majlis pernikahan di lima lokasi berbeza di Songkhla dalam tempoh sebulan.

“Berbanding di Narathiwat, jumlah pasangan yang berkahwin di Songkhla sekarang jauh lebih tinggi,” katanya.