Pegawai Tadbir PNS Mengaku Tidak Bersalah Atas 30 Pertuduhan Rasuah dan Terima...

Pegawai Tadbir PNS Mengaku Tidak Bersalah Atas 30 Pertuduhan Rasuah dan Terima Suapan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang pegawai tadbir Perpustakaan Negeri Sabah (PNS), Normila Ladahali, 49, dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas 30 pertuduhan melibatkan rasuah dan penerimaan benda berharga tanpa balasan berhubung beberapa kerja pembekalan dan perkhidmatan PNS.

Tertuduh tidak diwakili peguam dan mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan hakim Jason Juga, semalam.

Daripada keseluruhan pertuduhan, 18 daripadanya dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana didakwa cuba memperoleh suapan wang tunai melalui pindahan ke akaun bank anak-anak tertuduh sebagai dorongan memberikan kerja-kerja PNS kepada beberapa syarikat.

Baki 12 pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana didakwa cuba mendapatkan wang tanpa balasan daripada individu dan syarikat yang mempunyai urusan rasmi dengan PNS.

Kesalahan didakwa berlaku antara April 2022 hingga Oktober 2023, melibatkan transaksi di cawangan bank sekitar Alamesra dan BSN Cawangan Utama, Kota Kinabalu.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan deposit RM2,000 serta seorang penjamin.

Tertuduh diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi; manakala kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Dzulkarnain Rousan Hasbi.