Ketagih Ketum Sampai Kumpul Air Kencing Dalam Botol

Ketagih Ketum Sampai Kumpul Air Kencing Dalam Botol

0
SHARE

BAYAN LEPAS: Seorang pemuda berusia 22 tahun mengejutkan keluarganya selepas puluhan botol berisi air kencing ditemui berselerak di dalam biliknya di sini, walaupun tandas terletak berhampiran.

Keadaan itu menimbulkan suasana tidak selesa serta risiko kesihatan kepada penghuni rumah.

Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, siasatan mendapati pemuda tersebut telah bergantung kepada minuman ketum sejak hampir setahun lalu.

Mengikut laporan Sinar Harian, apa yang bermula sekadar mencuba untuk suka-suka akhirnya bertukar menjadi ketagihan serius.

Lelaki itu berhenti bekerja, mengabaikan kehidupan harian dan sering bertindak agresif apabila tidak mendapat wang untuk membeli ketum.

Pihak AADK memaklumkan tingkah lakunya berubah secara drastik sehingga sukar dikawal oleh ahli keluarga.

AADK turut mengingatkan orang ramai agar tidak memandang ringan pengambilan ketum hanya kerana ia dianggap sebagai “minuman herba”.

“Penyalahgunaan dan pengambilan berlebihan boleh membawa kepada ketagihan, masalah kesihatan mental serta merosakkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Sehubungan itu, keluarga disaran mendapatkan bantuan awal dan memberi sokongan kepada ahli keluarga yang berdepan masalah ketagihan, daripada terus menghukum mereka.