Larang Kapal Israel Berlabuh: Pelabuhan Klang Diarah Bantu Syarikat Terkesan

Larang Kapal Israel Berlabuh: Pelabuhan Klang Diarah Bantu Syarikat Terkesan

0
SHARE
Anthony
Anthony Loke (Sumber Foto: Laman media sosial rasmi Menteri Pengangkutan)

PUTRAJAYA, SELANGOR – Lembaga Pelabuhan Klang diarah membantu semua pihak terjejas susulan ketetapan kerajaan tidak membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM berlabuh di pelabuhan Malaysia.

Memetik sumber Berita Harian, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ia membabitkan syarikat logistik, pengimport, pengeksport dan perkapalan dalam menguruskan kargo masing-masing yang terkesan akibat keputusan terbabit.

“Selaras kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), syarikat perkapalan Israel, ZIM tidak akan dibenarkan untuk berlabuh di pelabuhan-pelabuhan Malaysia berkuat kuasa serta-merta.

“Lembaga Pelabuhan Klang sudah diarahkan untuk membantu syarikat logistik, pengimport, pengeksport dan perkapalan dalam menguruskan kargo masing-masing yang terjejas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, menerusi kenyataan memaklumkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, menggunakan bendera negara itu atau kapal dalam perjalanan menuju ke sana, dilarang berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan Malaysia, berkuat kuasa serta-merta.

Anwar berkata, sekatan itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian serta kekejaman berterusan ke atas rakyat Palestin.

Loke berkata, selaras keputusan terbabit, kapal milik syarikat perkapalan ZIM, tidak akan dibenarkan berlabuh di Pelabuhan Klang seperti yang dijadualkan pada Selasa depan.