Sotong Manis RM50 Viral, KPDN Sabah Ambil Tindakan

Sotong Manis RM50 Viral, KPDN Sabah Ambil Tindakan

0
SHARE
Kpdn
Tanda harga bagi sotong manis yang dipamerkan di restoran tersebut ( Sumber Foto: Ihsan KPDN Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah mengambil tindakan terhadap sebuah kedai makan yang tular selepas mengenakan harga RM50 bagi sotong manis.

Baru-baru ini seorang pengguna Facebook, Hussin TJ Abdullah, memuat naik gambar resit Restoran Mekar di Wisma Merdeka sini yang bernilai RM75 bagi sepinggan nasi berlaukkan sotong manis.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sabah Zulfamy Mat Udi berkata bertindak atas aduan, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut terhadap sebuah restoran tersebut semalam (Rabu).

“Berdasarkan pemeriksaan, premis tersebut ada menunjukkan tanda harga bagi setiap makanan dan minuman yang dijual termasuk sotong manis.

“Walau bagaimanapun, KPDN menasihatkan pemilik premis supaya memaklumkan harga dengan lebih jelas dari segi saiz sotong manis tersebut. Sebagai contoh, berapa harga untuk sotong manis saiz kecil, sederhana dan besar.

“Penandaan harga lebih khusus ini untuk mengelakkan kekeliruan pengguna,” katanya.

Sebagai tindakan lanjut, Zulfamy berkata premis telah dikenakan tindakan dan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana meletakkan harga mengelirukan serta tidak jelas.

Selain itu, satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dibawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi makanan sotong manis juga dikeluarkan kepada permis tersebut bagi mendapatkan maklumat berhubung harga makanan tersebut dan diminta untuk memberi maklumbalas dalam tempoh dua hari.

Tindakan diambil dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan siasatan masih dijalankan sementara menunggu maklum balas daripada peniaga.

“Kementerian ini juga menasihatkan orang ramai untuk bertanya terlebih dahulu kepada pemilik kedai atau menyemak senarai harga yang dipamerkan sebelum mengambil makanan, bagi mengelakkan masalah tersebut berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas berhubungan situasi semasa penjualan pelitup muka, cecair sanitasi dan kit ujian COVID-19 disebabkan peningkatan kes, beliau berkata yang dijual dipasaran sama ada di farmasi atau pasar raya adalah masih pada harga yang murah dan berpatutan.

“Setakat ini, KPDN Sabah tiada menerima sebarang aduan ataupun laporan berhubungan kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan tersebut di pasaran.

“Beberapa premis farmasi yang telah diperiksa juga memaklumkan permintaan terhadap test kit Covid-19 ada berlaku sedikit peningkatan permintaan, walau bagaimanapun, bekalan masih ada mencukupi,” katanya.

Zulfamy berkata pihak farmasi juga sentiasa menambah stok bekalan daripada pembekan untuk menampung permintaan yang dijangka akan meningkat.

“Keadaan di pasaran juga tidak berlaku pembelian panik daripada pengguna. Anggota Penguat Kuasa KPDN Sabah akan sentiasa berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari,” katanya.