KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sehingga tengah hari ini.
Bagi Sabah, amaran melibatkan kawasan Pedalaman (Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau serta Kudat.
Di Sarawak pula, cuaca buruk diramal berlaku di Sarikei (Julau dan Meradong), Sibu, Mukah (Tanjung Manis dan Daro), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu dan Miri (Subis), manakala WP Labuan turut berada dalam kawasan amaran.
MetMalaysia memaklumkan, amaran ini dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” menurut kenyataan dikeluarkan pada jam 9.15 pagi tadi.
Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada, mengelakkan aktiviti luar ketika ribut petir, serta memantau perkembangan cuaca terkini daripada MetMalaysia.






