KUALA LUMPUR: Kerajaan meningkatkan peruntukan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) kepada RM600 juta bagi tahun ini, dengan sasaran menganjurkan 20,000 siri jualan di seluruh negara demi memastikan manfaatnya sampai terus kepada kumpulan sasar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peningkatan peruntukan itu meliputi RM552 juta khusus untuk PJRM, hasil pengumuman tambahan RM300 juta oleh Perdana Menteri pada 23 Julai lalu, berbanding RM252 juta yang telah diperuntukkan sebelum ini.
“Dengan tambahan ini, PJRM akan dilaksanakan di 222 kawasan Parlimen, lebih 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan.
“Pelaksanaannya juga akan dipertingkat daripada 15,360 siri kepada 20,000 siri jualan setahun sehingga Disember 2025,” katanya semasa sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, semalam.
Menurutnya, tiga elemen utama akan ditambah baik iaitu penambahan kekerapan penganjuran, penambahan jenis barangan (SKU) mengikut keperluan tempatan dan musim perayaan, serta kepelbagaian model pelaksanaan termasuk jualan di premis, jualan di kawasan terbuka, dan jualan bergerak.
PJRM juga akan melibatkan rakan strategik Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi memastikan penerima SARA mendapat barangan keperluan pada harga lebih murah.
Sehingga 31 Julai 2025, sebanyak 13,060 siri PJRM telah dianjurkan di seluruh negara dengan 15.6 juta transaksi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.






