Elak Percanggahan Laporan, Kami Tahan Diri Keluarkan Kenyataan Mengenai Laporan Bedah Siasat...

Elak Percanggahan Laporan, Kami Tahan Diri Keluarkan Kenyataan Mengenai Laporan Bedah Siasat – Peguam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina memaklumkan mereka memilih untuk menahan diri daripada mengulas lanjut mengenai hasil bedah siasat terkini bagi mengelakkan percanggahan maklumat dengan laporan rasmi yang akan dikeluarkan pihak hospital.

Dalam satu kenyataan media semalam, peguam Shahlan Jufri dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi berkata, mereka menghargai tindakan Jabatan Peguam Negara yang mengarahkan polis untuk memohon kebenaran menggali semula kubur arwah pada 10 Ogos lalu, sebelum proses bedah siasat dijalankan semula.

“Kami juga berterima kasih kepada pihak polis yang mengawal rapi proses penggalian dan bedah siasat tersebut. Seperti dimaklumkan pada 10 Ogos, terdapat kecederaan ditemui pada tubuh Zara semasa bedah siasat.

“Namun, demi mengelakkan percanggahan antara maklumat lisan yang disampaikan kepada kami dan laporan rasmi bedah siasat, kami mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan kenyataan lanjut buat masa ini,” kata mereka.

Mereka turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk wartawan yang hadir sejak pagi hingga malam di tanah perkuburan dan Hospital Queen Elizabeth 1 bagi mengikuti proses penggalian, pengkebumian semula, dan bedah siasat arwah.