
KOTA KINABALU, SABAH – Polis daerah ini mengesahkan menerima laporan berhubung kamera pengintip yang dipasang di dalam soket dinding di sebuah inap desa, di sini.
Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, laporan itu dibuat oleh seorang pelancong warganegara China pada 5.27 petang pada 7 September, awal bulan ini.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Siasatan awal di tempat kejadian telah dijalankan melibatkan rampasan barang kes.
“Usaha untuk mengenal pasti pelaku sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Sementara itu, Zaidi menyangkal dakwaan bahawa pengadu diarah memadam muat naik di media sosial yang merungut tentang insiden.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menyalurkannya kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kota Kinabalu DSP Khairul Shah Peri di talian 011-2669 1994,” katanya.
Mangsa, sepasang kekasih yang berbulan madu, mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila soket itu memberikan pancaran silau yang mencurigakan apabila disinar menggunakan lampu.
Di media sosial China Xiaohongshu, seorang wanita berkata mereka menjumpai kamera pengintip di antara dua ‘port’ USB selepas membongkar panel berkenaan.
“Kami menghubungi tuan rumah yang hanya membaca mesej kami, jadi kami memutuskan untuk membuat laporan polis.
“Keesokan paginya kami telah dinasihatkan oleh pemilik untuk mencari tempat penginapan baru.
“Kemudian kami dituduh tidak mahu membayar sewa RM400 semalaman. Kejadian ini telah merosakkan bulan madu kami.
“Polis kemudian memberitahu kami untuk memadam muat naik yang saya lakukan tanpa berfikir dua kali.
“Tetapi apabila pulang ke negara asal, saya memutuskan untuk berkongsi semula kejadian itu sebagai amaran kepada orang lain,” dakwanya.
Tempahan bilik studio adalah untuk “Apartmen Studio Deluxe Pemandangan Laut Moden KK” di pusat bandar.