SANDAKAN: Dua wanita cedera parah selepas sebuah treler membawa muatan kayu balak merempuh lori kargo 10 tan dan sebuah gerai buah di tepi jalan di Ulu Dusun, Batu 28, di sini, pagi Rabu.
Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 31 tahun yang merupakan penumpang lori kargo tersepit, manakala seorang peniaga buah berusia 50 tahun turut mengalami kecederaan parah selepas gerainya dirempuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 pada jam 8.24 pagi sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba pada jam 9.03 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler membawa muatan kayu balak yang merempuh lori kargo 10 tan serta sebuah gerai buah di tepi jalan.
“Seorang penumpang wanita dalam lori kargo didapati tersepit dan mengalami kecederaan parah, manakala seorang peniaga buah turut cedera parah akibat kejadian itu,” katanya ketika dihubungi.
Jimmy berkata, anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum memberikan rawatan awal kepada kedua-dua wanita terbabit.
Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Beluran menggunakan kenderaan EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, tiga lagi individu termasuk pemandu lori kargo berusia 30 tahun, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dan pemandu treler dilaporkan selamat tanpa kecederaan.
“Operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM berjaya dikawal pada jam 9.20 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.34 pagi selepas keadaan disahkan tidak lagi berbahaya,” katanya.






