Sabah Usaha Jadikan Sandakan Destinasi Penerbangan Antarabangsa – Jafry

Sabah Usaha Jadikan Sandakan Destinasi Penerbangan Antarabangsa – Jafry

0
SHARE

SANDAKAN: Kerajaan Sabah sedang berusaha menjadikan Sandakan sebagai salah satu destinasi penerbangan terus dari luar negara bagi memperluas akses pelancong antarabangsa ke daerah itu yang mempunyai pelbagai tarikan alam semula jadi, sejarah dan hidupan liar.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin berkata, usaha itu penting memandangkan Sandakan masih belum mempunyai penerbangan terus dari luar negara, berbanding Kota Kinabalu dan Tawau.

Beliau berkata, hubungan penerbangan atau connectivity merupakan antara faktor utama dalam memajukan sektor pelancongan Sabah, khususnya bagi menarik lebih ramai pengunjung antarabangsa.

“Kalau di Kota Kinabalu dan Tawau sudah ada penerbangan terus dari luar negara, kita usahakan kalau boleh Sandakan juga mampu menawarkan kemudahan yang sama.

“Sandakan mempunyai banyak potensi dari segi sejarah, alam sekitar dan hidupan liar yang mampu kita tawarkan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Makan Malam Gala sempena VM2026 Hunt & Explore Media Race 2026 di sini, pada Sabtu lalu.

Jafry berkata, pihaknya turut menyambut baik pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya inisiatif insentif padanan bagi penerbangan sewa khas atau charter flight.

Menurutnya, inisiatif Kerajaan Persekutuan itu penting dalam usaha meningkatkan hubungan penerbangan bagi membawa lebih ramai pelancong luar negara ke Sabah.

“Untuk menjayakan sektor pelancongan di Sabah, kita perlukan connectivity. Connectivity merupakan faktor utama dalam menjayakan sektor pelancongan di negeri ini.

“Maka dengan itu, saya menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan yang memberikan insentif padanan kepada penerbangan sewa khas bagi memastikan kita mampu membawa pengunjung dari luar ke Sabah,” katanya.

Mengulas potensi pasaran antarabangsa, Jafry berkata, pelancong dari Eropah merupakan antara kumpulan pengunjung utama ke Sandakan, khususnya mereka yang meminati alam semula jadi, hidupan liar dan aktiviti memerhati burung.

Katanya, daerah itu mempunyai tarikan yang dikenali di peringkat antarabangsa termasuk pusat pemulihan orang utan di Sepilok serta Pulau Selingan yang terkenal dengan pemuliharaan penyu.

Beliau berkata, keunikan destinasi berkenaan merupakan antara kekuatan Sandakan yang berpotensi menarik lebih ramai pelancong luar negara, sekali gus menyokong usaha memperluas hubungan penerbangan antarabangsa ke daerah itu.