KOTA KINABALU, SABAH – Perbadanan Kemajuan Minyak & Gas Sabah (SOGDC) telah meluluskan cadangan projek pelaburan berjumlah RM15 bilion di Taman Perindustrian Gas dan Minyak Sipitang (SOGIP).
“Dengan jumlah pelaburan sebesar itu, ia pasti akan mewujudkan limpahan perniagaan kepada penduduk tempatan serta mewujudkan ribuan pekerjaan untuk rakyat Sabah,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Selain kemudahan terapung gas asli cecair (LNG) Petronas tepi pantai, antara projek lain yang diluluskan termasuk kemudahan pemprosesan oleokimia bersepadu, proses pengeluaran logam silikon dan perkhidmatan sokongan yang berkaitan seperti pengurusan sisa serta marin.
Mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah SOGIP di Menara Kinabalu, di sini pagi tadi, Hajiji berkata ianya selaras dengan rancangan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berkata, Kerajaan Negeri terus komited untuk membangunkan industri hiliran dengan menumpukan lebih banyak pelaburan kepada sumber sedia ada termasuk minyak dan gas serta mengoptimumkan taman perindustrian sedia ada seperti SOGIP.
“Aspirasi Kerajaan Negeri akan tercapai dengan jawatankuasa baru ditubuhkan yang dikenali sebagai Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA)…
“Pada asasnya, objektif CSA adalah untuk memperolehi bahagian pendapatan yang lebih besar daripada minyak dan gas, penyertaan yang lebih besar dalam rantaian nilai minyak dan gas dan lebih berkuasa dalam pembangunan minyak dan gas di negeri ini,” katanya.
Ketua Menteri berkata ketersediaan dan jarak antara hidrokarbon dalam negeri dengan lokasi SOGIP yang strategik telah menarik ramai pelabur menyertai dalam SOGIP.
Katanya, gas asli yang disediakan dalam SOGIP akan mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti untuk graduan yang menganggur selain menyediakan peluang perniagaan kepada kontraktor tempatan.
Selepas mesyuarat itu, Ketua Menteri menerima Manual Anti-Sogokan & Rasuah (Tatacara Mencukupi) dan Pelan Pencegahan Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 daripada pasukan Pengurusan SOGDC yang diketuai oleh Pengarah Urusan menrangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Abdul Kadir Damsal.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr Joachim Gunsalam, pegawai-pegawai kanan, serta bekas Ketua Pengurusan Projek Negeri dan Pengurusan Projek (Direktorat Projek) PETRONAS Chemicals Group Berhad, Datuk Haji Mohd Shariff Haji Ibrahim.