KOTA KINABALU, SABAH – Polis menahan tujuh kanak-kanak kerana terbabit dalam pergaduhan jalanan berhampiran Pasar Besar, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Bandaraya ACP Kasim Muda berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang mana satu video berdurasi 32 saat telah tular di media sosial.
Ia menunjukkan kanak-kanak itu membaling kayu dan batang antara satu sama lain berhampiran laluan utama.
“Suspek berusia sekitar 14 tahun ke atas telah ditahan pada Khamis.
“Pergaduhan itu tidak ada kaitan dengan kongsi gelap tetapi dipercayai daripada kes buli, memeras dan rasa tidak puas hati di kalangan mereka yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Kasim menggesa orang ramai supaya tidak memuat naik bahan di media sosial tanpa mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu yang menurutnya boleh menimbulkan keresahan orang ramai.
Terdahulu, Datuk Bandar Datuk Seri Dr Sabin Samitah memberi jaminan bahawa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu akan bekerjasama rapat dengan polis bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.
Kanak-kanak terbabit dipercayai gipsi laut, lebih dikenali penduduk tempatan sebagai ‘palau’.






