KOTA KINABALU, SABAH – Penduduk Kampung Lok Baru di Pulau Gaya, dekat sini, berjaya menjrut seekor buaya sepanjang 12 kaki pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinablau ACP Kasim Muda berkata menerima maklumat mengenai penangkapan itu pada 4.30 petang Rabu semalam.
“Siasatan awal mendapati penduduk kampung telah melihat buaya itu di perairan kampung sebelum memutuskan untuk menangkapnya menggunakan tali dan bot,” katanya dalam satu kenyataan.
Buaya itu dipindahkan ke atas bot Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut pada jam 5.30 petang.
Terdahulu, reptilia itu dilaporkan cuba menyerang kanak-kanak yang sedang bermandi manda di kawasan berkenaan.
Pegawai Operasi APM, Leftenan (PA) Ezra Daniel Gandui walau bagaimanapun berkata, budak lelaki itu cukup pantas untuk menyelamatkan diri dengan memanjat naik sebuah rumah.
“Penduduk kampung mengambil masa kira-kira sejam untuk mengesan buaya seberat 200 kilogram itu yang kemudiannya dibawa ke Tanjung Aru pada jam 7.05 malam.
“Ia kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya sambil mengingatkan orang ramai di kawasan itu supaya sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti air.