MUIS Bakal Tubuh Tahfiz Terbesar Sabah Di Benoni, Papar

MUIS Bakal Tubuh Tahfiz Terbesar Sabah Di Benoni, Papar

0
SHARE
Muis
Mohd Dandan (berdiri tengah) menyaksikan penandatanganan MoU antara MUIS dan Rezeki Infaq

KOTA KINABALU, SABAH – Sekolah tahfiz terbesar di negeri ini untuk anak yatim dan golongan kurang berkemampuan dijangka siap menjelang 2027 di Benoni, Papar.

Ia diusahakan oleh Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) dengan kerjasama Rezeki Infaq iaitu pemberi dana khayalak (crowd funding) tahfiz yang berpusat di Semenanjung.

Ahli Majlis Tertinggi MUIS Datuk Mohd Dandan mendedahkan bahawa sebidang tanah seluas enam ekar telah diwakafkan demi usaha itu.

“Lawatan tapak telah dijalankan pada hari Rabu dan kerja-kerja asas telah dimulakan. Semoga tidak ada halangan.

“Ia boleh menempatkan 350 kanak-kanak pada satu-satu masa tetapi juga akan dibuka untuk orang dewasa memandangkan terdapat ramai yang ingin menghabiskan pengajian al-Quran mereka.

“Berdasarkan saiz, ia akan menjadi tahfiz terbesar di Sabah dan diharap dapat terus diperluaskan.

“Tahfiz di Sabah ibarat cendawan selepas hujan tetapi apa yang MUIS cuba lakukan ialah menjadikan ini sebagai penanda aras, untuk menunjukkan bahawa tahfiz di Sabah boleh diurus dengan betul,” katanya.

Mohd Dandan ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak di Dewan Saadah di Wisma MUIS pada Khamis.

Projek itu dianggarkan menelan belanja kira-kira RM2 juta dilengkapi dengan surau, asrama, kelas dan pusat rekreasi.

Ianya dengan harapan bahawa tahfiz terbabit dapat melahirkan pelajar yang celik dalam ilmu agama terutamanya mereka yang datang dari latar belakang kurang berkemampuan.