KUCHING, SARAWAK – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak dijangka memperoleh sijil Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) tahun ini, kata Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid.
Beliau berkata JBPM Sarawak dijangka menjadi negeri ketiga memperolehi sijil berkenaan bagi JBPM selepas ibu pejabat di Putrajaya dan JBPM di Kuala Lumpur.
Mohammad Hamdan hari ini melancarkan Sudut Eksa JBPM Negeri Sarawak sebelum menyempurnakan majlis bersempena persaraan 17 pegawai dan anggota bomba di ibu pejabat JBPM Sarawak di sini, hari ini.
EKSA diterajui oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan ia merupakan penjenamaan semula amalan 5S sektor awam bertujuan untuk meningkatkan budaya kecemerlangan organisasi yang lebih berimejkan korporat, selain melahirkan idea, kreativiti dan inovasi.
Menurutnya memandangkan JBPM Sarawak telahpun memperolehi sijil amalan 5S dua tahun lepas, iaitu negeri yang paling awal memperolehinya dan atas sebab itu model Sarawak untuk 5S dapat digunakan oleh JBPM di seluruh Malaysia.

“Kita percaya JBPM Sarawak akan berjaya memperoleh sijil berkenaan,” kata beliau kepada pemberita dan menambah bahawa EKSA ini dilaksanakan adalah untuk memastikan tempat kerja itu berkondusif dari segi suasana bekerja, keselamatan dan dari segi perkhidmatan dan penyampaian yang pantas.
Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata 45 peratus daripada pegawai kanan JBPM termasuk empat gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) akan bersara wajib pada tahun 2023 dan menambah kekosongan itu nanti akan memberi peluang kepada kenaikan pangkat kepada pegawai-pegawai muda.
Dalam ucapannya pada majlis meraikan seramai 17 pesara wajib dan pilihan, beliau berkata khidmat bakti pesara jabatan itu akan tetap dihargai dan diingati oleh jabatan dan masyarakat.
“Anda merupakan sebahagian wira yang banyak menyumbang kepada setiap kejayaan dan kecemerlangan jabatan,” katanya, selain menggesa mereka agar terus menyumbang kepada masyarakat setelah bersara nanti.