SEMPORNA, SABAH – Pemilik sebuah pasaraya bakal berdepan hukuman denda sehingga RM2 juta, selepas didakwa memiliki barang kawalan melebihi had dibenarkan dalam satu operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Semporna Jong Jee Leong berkata, dalam serbuan pukul 10 pagi itu, pihaknya turut menyita beberapa barang kawalan dianggarkan bernilai RM120,000.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan di dalam premis berkenaan, kami berjaya menemui 10,128 kilogram (kg) minyak masak 1,224 kg gula dan 860 kg tepung gandum…
“Berikutan penemuan barangan tersebut, pemilik premis dikesan melakukan kesalahan kerana memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had kuantiti yang dibenarkan dalam lesen,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.
Tambah Jong, siasatan turut mendapati premis berkenaan adalah pemegang lesen runcit barang kawalan.
“Walaupun memiliki lesen runcit barang kawalan, pihak terbabit perlu mematuhi syarat yang ditetapkan dalam lesen termasuk jumlah barang kawalan yang disimpan…
“Sehingga kini, kami masih melakukan siasatan terperinci termasuk membabitkan buku log yang diwajibkan ke atas setiap premis sebagai rekod jumlah barang kawalan berkaitan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Sehubungan itu, mana-mana individu atau orang berkaitan berdepan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi syarikat pula, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta.