KOTA KINABALU, SABAH – Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menafikan pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia kepada Datuk Seri Shafie Apdal.
Shafie membuat kenyataan telah ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri semasa program wawancara dengan pengamal media pada 14 Julai yang lalu yang kemudiannya disiarkan oleh portal berita Malaysiakini.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini Tan Sri Muhyiddin berkata “kenyataan Datuk Seri Shafie Apdal mengenai tawaran (Timbalan Perdana Menteri) dalam wawancara bersama Malaysiakini pada 14 Julai, saya ingin menegaskan tidak pernah sekalipun menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada beliau selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada bulan Mac.”
Menurutnya, kenyataan Mohd Shafie dalam satu wawancara bersama portal media tempatan Malaysiakini pada 14 Julai lalu itu disifatkan beliau sebagai andaian semata-mata.
Mutakhir ini Shafie dilihat kerap mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan, pemerhati politik bebas turut berpendapat Shafie mungkin tertekan selepas orang kanan kepada Shafie, Dato’ Peter Anthony telah dihadapkan ke Mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan tanah RISDA berjumlah RM155 Juta.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, kertas rasuah Shafie juga bakal dibuka semula oleh SPRM dan perkara ini mungkin menjadi salah satu sebab Shafie seperti hilang arah ketika mengeluarkan kenyataan.