PBB Perlu Dana Tambahan RM15.3 Bilion Untuk Tangani COVID-19

PBB Perlu Dana Tambahan RM15.3 Bilion Untuk Tangani COVID-19

0
SHARE
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)...

AMERIKA SYARIKAT – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam memaklumkan memerlukan dana tambahan kira-kira AS$3.6 bilion (RM15.3 bilion) bagi pelan tindakan kemanusiaan global untuk menangani pandemik COVID-19.

PBB turut memberi amaran kepada negara maju menghulurkan sumbangan memandangkan banyak negara miskin yang akan terjejas teruk sekiranya tidak dibantu.

Setiausaha Agung bagi Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Mark Lowcock yang dipetik AFP berkata bahawa terdapat risiko serius kebuluran akhir tahun ini dan awal tahun depan.

“Kita perlu melabur sekarang untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar.

Selain Somalia, Sudan Selatan, Yaman dan Nigeria yang berdepan masalah kekurangan makanan, beliau berkata, situasi sama turut meruncing di Sudan, Zimbabwe dan Haiti.

Menurut PBB, dana itu bukan sahaja dimanfaatkan untuk menampung keperluan makanan, ia juga bagi membolehkan pembelian peralatan perubatan, kempen bertujuan menyalurkan maklumat dan mewujudkan logistik perkhidmatan udara khususnya di Afrika, Asia dan Amerika Latin.

Lowcock berkata, setakat ini maklum balas daripada negara kaya bagi membantu negara yang memerlukan adalah tidak memadai.

Rayuan dilakukan PBB itu masuk kali ketiga sejak dana berkenaan dilancarkan pada Mac lalu.

Jumlah keseluruhan yang diperlukan PBB bagi menangani masalah dihadapi negara miskin ketika ini mencecah AS$10.3 bilion (RM43.9 bilion).

Bagaimanapun, cuma AS$1.7 bilion (RM7.2 bilion) sumbangan yang diterima PBB bagi tujuan berkenaan.

Mengikut unjuran PBB, kira-kira 1.67 juta penduduk dunia di 30 negara berpendapatan rendah berdepan risiko kematian sekiranya kes COVID-19 terus meningkat dan tidak dikawal sepenuhnya.