KOTA KINABALU, SABAH – Bekas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak menafikan kritikannya terhadap Shafie dibuat kononnya hanya selepas dinamakan sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH) Plus.
Najib membuat penafian tersebut sehari selepas Shafie menyatakan punca utama dia disasarkan disebabkan namanya telah dicalonkan sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Najib sebelum ini membuat kenyataan melalui laman sosial Facebook miliknya bahawa Shafie Apdal adalah Menteri yang paling banyak meminta tender terpilih malahan apabila permintaan tersebut ditolak, Shafie tetap akan merayu.
Shafie kemudiannya membalas kenyataan Najib dengan menyatakan bahawa serangan oleh Najib tersebut disebabkan namanya telah disenaraikan untuk menjadi Perdana Menteri.
Memetik kenyataan Najib melalui portal berita Malaysiakini (kelmarin) Najib berkata, “tidak benar, saya hanya menyasarkannya kerana dia (Shafie) disebut sebagai salah seorang daripada beberapa calon PM PH.”
“Seperti yang diketahui , saya telah menulis pelbagai isu setiap hari sejak pilihan raya umum ke-14.
“Ini termasuk kritikan saya mengenai bagaimana Warisan membentuk kerajaan pintu belakang di Sabah dengan pertolongan Tun Mahathir (Mohamad) ketika Tun mengancam dan menggunakan SPRM untuk mengganggu ADUN BN Sabah, yang menyebabkan banyak pihak melompat.”
Najib turut menyenaraikan kritikannya termasuk keputusan Shafie melantik ahli Warisan sebagai Pengarah Jabatan Air Sabah setelah membentuk kerajaan negeri walaupun individu tersebut disiasat berhubung skandal rasuah yang melibatkan syarikat itu.
Najib turut mengkritik Shafie kerana mengekalkan Pengarah Jabatan Air Sabah itu walaupun mahkamah telah memutuskan bahawa pelantikan itu tidak mengikut perlembagaan.
Selain itu, Najib berkata beliau juga mengkritik pemilihan Peter Anthony sebagai Menteri di Sabah walaupun berdepan pendakwaan di mahkamah.
Beliau turut membangkitkan saman berkaitan penyelewengan tanah terhadap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew sebanyak RM557 juta.
Najib berkata lagi “jadi tidak benar bahawa saya mensasarkannya sekarang kerana setelah dia telah dinamakan sebagai calon PM.”
Sebelum ini, Shafie dalam satu sesi bual bicara dengan wartawan menyatakan salah satu sebab Najib menyerangnya disebabkan namanya telah dicalonkan sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Shafie turut berkata bahawa beliau percaya tindakan berkenaan diambil Najib selepas namanya disebut sebagai calon Perdana Menteri daripada blok pembangkang.
“Agaknya dia bimbang apabila Dr Mahathir Mohamad menyebut nama saya sebagai calon perdana menteri kesembilan. Hal sebegitu tidak pernah berlaku sebelum ini.”
“Hanya apabila isu ini timbul, saya menjadi sasaran (Najib) untuk perkara seperti ini,” katanya .
Dalam pada itu, Baharuddin Yamani seorang aktivis politik bebas ketika ditemui untuk mengulas penafian Najib tersebut menyatakan bahawa mutakhir ini Shafie dilihat kerap memutar belit fakta atau dengan kata lain cuba ‘BERBOHONG’.
“Shafie bukan sahaja cuba untuk berbohong di peringkat Nasional, tetapi juga di Sabah.”
“Shafie sebenarnya sedar majoriti rakyat Sabah telah menolaknya kerana GAGAL membangunkan dan membantu mengurangkan kadar pengangguran di Sabah. Oleh sebab itu, cara untuk mengalihkan isu adalah dengan cuba memutar belit fakta dan mengulangi bahawa dia adalah calon Perdan Menteri Malaysia yang ke-9.
“Sebagai contoh PEMBOHONGAN besar dibuat semasa berucap di hadapan rakyat di Keningau Sabah, Shafie menyatakan salah satu sebab dia tidak dapat memajukan negeri Sabah disebabkan sepanjang setahun (2018-2019) beliau kerap masuk dan keluar Mahkamah untuk menyelesaikan hal berkaitan kesahan Ketua Menteri Sabah, walhal dalam tempoh tersebut hanya Peguam kepada Shafie sahaja yang kerap ke Mahkamah.”
“Shafie juga pernah berjanji semasa PKP dikuatkuasakan di Sabah, makanan akan dihantar di hadapan rumah rakyat Sabah yang memerlukan, sebaliknya majoriti rakyat Sabah yang layak menerimanya menafikan ada menerima bantuan seperti yang dijanjikan tersebut.”
“Menurut sebahagian rakyat Sabah pula, kalau pun ada bantuan yang diberikan hanya sebahagian kecil sahaja yang menerima bantuan tersebut malahan barangan makanan yang diumumkan sepatutnya berjumlah RM100, tetapi sampai kepada rakyat hanya bernilai kurang dari RM50.”
Baharuddin berkata lagi, “Shafie juga sedar kemungkinan SPRM akan membuka semula kertas siasatan terhadap penyelewengan dana rakyat RM1.5 billion serta kes tanah RISDA berjumlah RM155 juta. Oleh sebab itu Shafie turut menyasarkan serangan terhadap SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) agar tidak menakut-nakutkan pihak yang menentang kerajaan.
“Permainan politik Shafie ini masih jelas tidak akan mampu menolak sentimen kebencian rakyat terhadap Shafie dan ini adalah FAKTA yang kita harus terima,” tambah Baharuddin lagi.