MOF Sabah Sentiasa Cari Jalan Tingkatkan Pengurusan Kewangan Kerajaan Negeri – Masidi

MOF Sabah Sentiasa Cari Jalan Tingkatkan Pengurusan Kewangan Kerajaan Negeri – Masidi

0
SHARE
Masidi
Masidi (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada lembaga pengarah SMJ Energy Datuk Brenndon Keith Soh pada Majlis Makan Malam Kewangan 2024 di Magellan Sutera

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Kewangan (MOF) Sabah senantiasa mencari jalan untuk meningkatkan pengurusan kewangan kerajaan negeri supaya lebih teratur.

Menterinya, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara inisiatif yang sedang dibangunkan bagi memperbaiki proses kerja di kementerian itu termasuklah Sistem E-Emolumen yang merupakan di antara Modul yang diwujudkan untuk melengkapkan Sistem Pengurusan Peruntukan, Perbelanjaan dan Pembayaran (S3P).

“Antara tujuan sistem ini dibangunkan adalah bagi memudahkan pengemaskinian data perjawatan di kementerian atau jabatan dan pejabat daerah serta merekod dan menyimpan data berkaitan perjawatan secara teratur.

“Saya amat mengharapkan dengan adanya sistem ini, Kerajaan Negeri Sabah berupaya meningkatkan pengurusan kewangan agar lebih teratur dan menjadi contoh terbaik kepada
semua negeri.

“Sistem ini sedang diuji dan akan diguna pakai bagi penyediaan Anggaran Emolumen bagi Tahun 2025,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kewangan 2024 di Magellan Sutera di sini, semalam.

Sementara itu, menyentuh tentang pengurusan perbelanjaan, Masidi berkata, atas usaha yang berterusan sepanjang tahun 2023, Kementerian itu berjaya menurunkan Akaun Pendahuluan Diri (AP.54) ke paras di bawah siling yang dibenarkan iaitu RM30 juta.

“Jumlah AP.54 pada tahun 2023 dianggarkan menurun ke RM14.66 juta berbanding RM 63.3 juta pada tahun 2022. Ini menunjukkan kesungguhan Kementerian ini untuk memperbaiki kelemahan agar pengurusan kewangan berada di tahap yang tinggi. Saya juga ingin menekankan pentingnya meneruskan budaya akauntabiliti pada peringkat kementerian.

“Tahun lalu kita juga telah melancarkan Sistem Indeks Akauntabiliti Kerajaan Negeri pada bulan Mac untuk mengukur dan juga sebagai penanda-aras bagi perkhidmatan dan pematuhan ke atas pekeliling-pekeliling yang berkuat kuasa.

“Selain itu, Sijil Digital PUKONSA yang juga dilancarkan pada tahun lalu mula dilaksanakan bagi memudahkan pelanggan kita untuk mengambil sijil dan sekali gus mengurangkan beban kos pengiriman sijil yang harus ditanggung oleh Kementerian Kewangan,” jelasnya.