TAWAU, SABAH – Polis menahan tiga lelaki berusia 15 hingga 29 tahun kerana disyaki merogol remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah ACP Jasmin Hussin berkata suspek ditahan di beberapa lokasi antara jam 9 malam hingga tengah malam pada hari sama mangsa ditemui.
“Tangkapan dibuat susulan kenyataan mangsa yang mendedahkan dia telah dirogol oleh tiga lelaki yang dikenalinya.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Terdahulu media telah melaporkan kehilangan remaja perempuan berusia 15 tahun itu selepas dia gagal pulang ke rumah sehingga lewat petang Jumaat (23 Ogos) sebelum ditemui di Kampung Jawa, di sini, pada Selasa.