Imigresen Tahan 104 PATI Di Keningau, Ramai Larikan Diri Kerana WhatsApp

Imigresen Tahan 104 PATI Di Keningau, Ramai Larikan Diri Kerana WhatsApp

0
SHARE
Jim
Antara PATI yang ditahan di rumah setinggan sekitar Keningau ( Sumber Foto: Ihsan JIM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah telah menahan 104 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) susulan gempuran di beberapa lokasi sekitar daerah Keningau pada awal pagi Rabu.

Pengarah JIM Sabah Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi bermula 12.10 tengah malam sehingga jam 3.55 pagi itu melibatkan 78 orang pegawai (termasuk 20 anggota RELA) yang memeriksa sejumlah 159 orang.

“Suspek ditahan terdiri daripada 87 warganegara Indonesia dan 17 warganegara Filipina.

“Kesemua yang ditahan berumur di antara 5 bulan hingga 89 tahun yang terdiri daripada 33 orang lelaki, 37 orang perempuan dan 34 orang kanak-kanak.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa.

“Kesemua akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Papar untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat kejadian warga asing cuba melarikan diri dan bersembunyi daripada anggota operasi semasa serbuan.

“Antara cabaran utama operasi adalah warga asing lebih peka terhadap pergerakan pegawai operasi dimana mereka menggunakan media sosial seperti aplikasi WhatsApp untuk menyebarkan maklumat semasa keberadaan pegawai operasi.

“Maklumat ini memberikan warga asing peluang untuk lari bersembunyi.

“Selain itu, keadaan semasa serta bentuk muka bumi kawasan operasi yang berbukit, berlumpur dan merangkumi kawasan yang sangat luas, menyukarkan aktiviti operasi,” tambahnya.

Dalam pada itu, Sitti Saleha berkata JIM saba Sabah setakat bulan Julai tahun ini telah menjalankan 1,066 operasi, menangkap 3,619 PATI dan mendakwa 31 majikan yang didapati melindungi PATI.