Anwar Berkhutbah Solat Jumaat Di New York, Islamkan Saudara Baru

Anwar Berkhutbah Solat Jumaat Di New York, Islamkan Saudara Baru

0
SHARE
Anwar
Anwar memimpin syahadah seorang lelaki yang dikenali sebagai Andrew Vinals, yang memeluk Islam selepas solat Jumaat ( Sumber Foto: Laman media sosial rasmi Facebook Perdana Menteri )

NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT – Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan khutbah solat Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY).

Anwar, yang berada di sini untuk Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78, adalah pemimpin asing pertama yang diberi penghormatan menyampaikan khutbah di pusat itu, yang merupakan masjid pertama dibuka di New York City.

Dalam khutbahnya yang disampaikan di hadapan lebih 800 orang jemaah, Anwar berkongsi pengalaman Malaysia dalam menguruskan masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Kami sentiasa cuba menggalakkan persefahaman, toleransi dan keperluan untuk memahami budaya dan agama lain. Itu penting untuk kita hidup dalam aman dan harmoni,” katanya.

Pada masa sama, perdana menteri berkata umat Islam mesti mengukuhkan perpaduan sesama mereka, serta memperoleh maklumat dan pengetahuan.

Anwar juga mengambil kesempatan untuk menjelaskan konsep “Malaysia Madani” yang diperkenalkannya di Malaysia dan ancaman Islamofobia di seluruh dunia.

“Apabila insiden pembakaran al-Quran berlaku, Malaysia mencetak satu juta naskhah untuk
diedarkan ke seluruh dunia. Malah kami menghantar 15,000 naskhah ke Sweden supaya mereka lihat dan faham, dan bukan bergaduh kerana kejahilan,” katanya.

Imam pusat itu, Saad Jalloh berkata ia merupakan detik bersejarah bagi pusat itu menerima Anwar dan rombongannya kerana beliau merupakan pemimpin asing pertama melawat masjid itu.

Anwar juga diberi peluang untuk memimpin syahadah seorang lelaki yang dikenali sebagai Andrew Vinals, yang memeluk Islam selepas solat Jumaat.

Perdana Menteri hendak keluar dari masjid apabila diumumkan ada seorang lelaki yang ingin memeluk Islam dan mereka menyerunya untuk menyempurnakan pengislaman lelaki itu.