Kes Bunuh Zayn Rayyan: Bekas Pengasuh, Dua Ahli Keluarga Dipanggil Rakam Keterangan

Kes Bunuh Zayn Rayyan: Bekas Pengasuh, Dua Ahli Keluarga Dipanggil Rakam Keterangan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bekas pengasuh dan dua ahli keluarga dipanggil polis bagi membantu siasatan susulan penahanan ibu bapa kepada adik Zayn Rayyan Abdul Matiin pada Jumaat lalu

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kesemua individu itu dipanggil bagi dirakam keterangan untuk melengkapkan siasatan yang dilakukan.

“Mereka dipanggil untuk membantu dan melengkapkan siasatan polis. Ada kemungkinan kita akan panggil individu lain selepas ini namun ia bergantung kepada keperluan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan polis merampas telefon bimbit ibu dan bapa Zayn Rayyan bagi siasatan lanjut.

Hussein dilaporkan berkata, rampasan yang dilakukan adalah prosedur operasi standard (SOP) biasa dalam siasatan.

Sabtu lalu, Hussein dalam kenyataan media mengesahkan polis menahan kedua-dua ibu bapa Zayn Rayyan untuk membantu siasatan polis.

Beliau berkata, pasangan suami isteri itu ditahan pada jam 10.05 pagi, Jumaat lalu.

Katanya, tangkapan dijalankan oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Kedua-duanya kemudian direman pada Sabtu lalu di Mahkamah Petaling Jaya dan dibenarkan tahanan reman selama tujuh hari sehingga 7 Jun ini.

Kedua-dua mereka direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.