
KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 12 daripada 107 pelajar penerima Tajaan Pendidikan Memperkasakan Ilmu PETRONAS 2024 diraikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Menara Kinabalu, pada Jumaat.
Kesemua 12 penerima tersebut adalah pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Sabah dan mereka merupakan antara 600 pelajar yang terpilih dari seluruh negara untuk tajaan pendidikan tersebut.
Hajiji turut berterima kasih kepada PETRONAS atas sokongan berterusan dalam pembangunan akademik belia dan menaja 107 pelajar dari Sabah untuk melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang.
“Saya menghargai komitmen PETRONAS dalam membangunkan modal insan selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Oleh itu, para penerima tajaan perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang tersebut bagi mengembangkan ilmu dan menimba kemahiran,” katanya semasa berucap dalam Majlis Sesi Ramah Mesra PETRONAS dan Sesi Suai Kenal bersama Penerima Tajaan Program Penajaan Pendidikan PETRONAS.
Dalam majlis tersebut, Hajiji menyatakan Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan dan telah memperuntukkan RM470 juta bagi tujuan itu termasuk biasiswa dan pinjaman pengajian.
“Tetapi ia tidak mencukupi dan itulah sebabnya kami melibatkan Yayasan Sabah serta menubuhkan Dana Pendidikan Sabah dalam membantu membiayai pendidikan anak-anak kita.
“Disamping itu, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif untuk membantu pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima dengan memberikan bantuan one-off sebanyak RM200 seorang manakala pelajar yang mendaftar di institusi pengajian tinggi sebanyak RM2,000 untuk kursus ijazah dan RM1,500 untuk kursus diploma,” ujarnya.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir Bacho Pilong; Pengurus Besar Kanan PETRONAS Global HR Partners Downstream, Luqmahani Mustafa Kamal, Pengurus Besar Pelaburan Modal Insan PETRONAS, Syed Mohammad Muhafiz Syed Mohd Bakar dan Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab. — JABATAN PENERANGAN SABAH