TAMBUNAN, SABAH – Seorang warga emas meninggal dunia manakala tiga lagi cedera selepas Perodua Kancil dinaiki mereka terbabas di bahu jalan Kampung Pahu, sini, semalam.
Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan menerima panggilan kecemasan berhubung kes pada jam 6.43 petang.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, mangsa meninggal dunia ialah lelaki berusia 66 tahun.
Katanya, dua lagi mangsa merupakan wanita berusia 61 dan 64 tahun manakala seorang lagi lelaki tidak diketahui umurnya.
Sepasukan lapan tiba di lokasi berjarak 35 km dari balai hampir sejam kemudian pada jam 7.37 malam.
“Dua orang mangsa tersepit dikeluarkan oleh pasukan Bomba menggunakan peralatan khas dan dua orang lagi dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Tiga orang mangsa dilaporkan cedera dan seorang lagi disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tambunan oleh pihak ambulans KKM untuk menerima rawatan susulan.
“Mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” kata seorang jurucakap agensi.
Operasi kemudian ditamatkan pada jam 8.05 setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud.