
SEMPORNA, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya mematahkan cubaan melakukan aktiviti pengeboman ikan di Barat Pulau Omadal sini sekitar pukul 8.50 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan Op Pluto Timur, telah menerima maklumat risikan dan menuju ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, anggota bot peronda Maritim Malaysia berjaya mengesan sebuah bot yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, tekong bot telah bertindak nekad terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan cetek.
“Hasil pemeriksaan di dalam bot mendapati beberapa anak ikan serta botol kaca mengandungi baja yang disyaki digunakan untuk melakukan aktiviti pengeboman ikan.
“Hasil nilai rampasan dianggarkan sekitar RM5,000 manakala kes ini akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Berikutan dengan penahanan ini, Amir berkata mengingatkan komuniti maritim supaya tidak melakukan aktiviti bom ikan kerana ia salah disisi undang-undang laut negara, memberi kesan negatif kepada ekosistem laut dan boleh membawa maut.





