AirAsia Lancar Pesawat Emas Sempena Kemenangan Ke-16 Skytrax

AirAsia Lancar Pesawat Emas Sempena Kemenangan Ke-16 Skytrax

0
SHARE

SEPANG: AirAsia terus mencipta sejarah apabila melancarkan pesawat edisi khas berwarna emas bagi meraikan kejayaan memenangi gelaran Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat tahun ke-16 berturut-turut di Anugerah Skytrax World Airline 2025.

Majlis pelancaran pesawat bertemakan ‘Still Winning, Still Gold’ berlangsung di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T2) semalam, memperingati pencapaian cemerlang syarikat itu sejak mula beroperasi pada tahun 2001.

Warna emas yang digunakan mewakili simbol ketahanan, konsistensi dan kecemerlangan AirAsia dalam industri penerbangan.

Walaupun warna merah dan putih telah menjadi identiti ikonik AirAsia, rekaan baharu ini menandakan permulaan era baharu dengan ciri eksklusif termasuk elemen keemasan dalam kabin bagi memperkayakan lagi pengalaman penerbangan para penumpang.

Bagi memeriahkan sambutan ini, AirAsia turut melancarkan kempen promosi khas selama 16 hari berturut-turut.

Antara tawaran utama termasuk jualan ‘Golden Hour’ dari jam 4 petang hingga 7 malam setiap hari, dengan tambang istimewa ke pelbagai destinasi popular seperti Johor Bahru, Kota Kinabalu, Da Lat, Krabi, dan Jaipur.

Tempoh tempahan bermula hari ini hingga 3 Julai 2025 bagi penerbangan dari 2 Julai 2025 hingga 31 Mac 2026, eksklusif melalui aplikasi AirAsia MOVE dan laman airasia.com.

Semua tambang promosi termasuk caj perkhidmatan penumpang, kawal selia, surcaj bahan api dan fi berkaitan, serta tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk dan terma syarat tertentu.