Jerman Dan England Jamin Tempat Ke Piala Dunia 2018

Jerman Dan England Jamin Tempat Ke Piala Dunia 2018

0
SHARE
Sumber Foto; Berita Harian

PARIS – Juara bertahan, Jerman menjamin tempat ke Piala Dunia 2018 di Russia selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Ireland Utara manakala England mengikut jejak dengan menewaskan Slovenia 1-0, awal pagi tadi.

AFP melaporkan bahawa Sebastian Rudy dan Sandro Wagner meledak gol pada babak pertama di Belfast sebelum Joshua Kimmich menambah kelebihan tatkala pasukan kendalian Joachim Loew merekodkan sembilan kemenangan daripada sembilan perlawanan dalam aksi kelayakan Kumpulan C peringkat Eropah.

Juara dunia empat kali itu juga mengekalkan rekod tanpa kalah di laman lawan dalam kelayakan Piala Dunia – satu lanjutan prestasi menakjubkan dengan mengambil kira 47 perlawanan sejak 1934.

“Kami ke Russia untuk merungkaikan segala-galanya!. Kami mahu mempertahankan gelaran Piala Dunia,” kata pemain tengah Bayern Munich, Rudy selepas melakar gol antarabangsa pertamanya.

Ireland Utara yang meraih gol sagu hati menerusi Josh Magennis juga kekal berada di landasan untuk meraih tempat ke perlawanan play off bulan depan tatkala mereka mahu melangkah ke Piala Dunia sejak kali terakhir, 1986.

Sementara itu Harry Kane meneruskan rentak jaringannya dengan meledak jaringan kemenangan buat England pada minit ke-94 di Wembley.

Barisan kendalian Gareth Southgate tampak seakan buntu sehinggalah kapten pasukan Kane melakukan penyudah selepas menerima hantaran Kyle Walker sekali gus meledak gol ke-14 peribadi dalam sembilan perlawanan buat kelab dan skuad kebangsaan diwakilinya.

Ia adalah kali keenam England melayakkan diri ke Piala Dunia namun selepas dipaksa ‘bermandi peluh’ untuk menewaskan Slovenia, mereka tampak seakan perlu berusaha dengan lebih gigih.

“Ia bukan satu kelegaan, saya sentiasa memikirkan yang kami berjaya mencapai objektif (kelayakan),” kata Southgate.

“Kami mencapainya malam ini. Apapun, kami tahu apa yang perlu dipertingkatkan.

“Kami mempunyai pemain yang boleh menjaringkan gol. Usaha masih giat dijalankan dan apabila saya diberikan tanggungjawab ini, sasarannya adalah melayakkan diri ke Piala Dunia.”