GENEVA, SWITZERLAND – Usaha pemberian vaksin bakal terganggu disebabkan kemungkinan berlakunya kekurangan sehingga dua bilion picagari pada tahun depan (2022), demikian amaran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini.
Memetik laporan AFP, keadaan itu dijangka mengancam dan menghalang usaha pemberian vaksin secara global apabila pengeluaran tidak bertambah baik.
Kekurangan itu berikutan kempen vaksin COVID-19 dengan berbilion lebih picagari daripada biasa, digunakan di seluruh dunia hingga menyebabkan bekalan global terjejas teruk.
Penasihat kanan akses ubat dan produk kesihatan WHO, Lisa Hedman berkata, peningkatan bekalan dos vaksin COVID-19 dan picagari perlu seiring.
“Kami membangkitkan kebimbangan mengenai kekurangan picagari imunisasi kerana ia akan membawa kepada masalah serius, seperti memperlahankan usaha imunisasi…
“Ia bergantung bagaimana pengambilan vaksin berjalan dan boleh menjadi defisit mana-mana dari satu bilion hingga dua bilion,” katanya kepada pemberita.
Hedman berkata, akibat serius daripada kekurangan boleh menjadi kelewatan dalam rutin vaksinasi dan akhirnya memberi kesan kesihatan awam untuk tahun akan datang jika generasi muda terlepas vaksinasi kanak-kanak.





